Takut ada 'katak melompat': Azalina
JOHOR BAHRU - Menteri Besar (MB) Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi disaran segera melaksanakan manifesto Barisan Nasional (BN) sebagai teras Reformasi Politik.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu harus diutamakan kerana bimbang berlaku perkara seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan beralih parti.
“Jangan lupakan Ikhtiar Manifesto: Enakmen Anti Lompat Parti yang akan menjadi Agenda Reformasi Politik.
“Jangan lambat, takut ada 'katak melompat' dan tak cukup ADUN nak sokong dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya menerusi Twitter, pada Rabu.
Azalina yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut mengucapkan tahniah kepada Onn Hafiz di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor.
Onn Hafiz yang merupakan ADUN Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada Selasa, dalam satu istiadat di Istana Bukit Serene selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu lalu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad memaklumkan, BN akan memberi keutamaan kepada Enakmen Anti Lompat Parti sekiranya berjaya mendapat mandat rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!