Penganggur, pencuci kereta pecah rumah diberkas

Ahmad Ridhwan menunjukkan rampasan wang tunai susulan tertangkapnya dua lelaki untuk siasatan kes pecah rumah di Telok Panglima Garang, Banting pada 7 dan 8 Mac lalu.
Ahmad Ridhwan menunjukkan rampasan wang tunai susulan tertangkapnya dua lelaki untuk siasatan kes pecah rumah di Telok Panglima Garang, Banting pada 7 dan 8 Mac lalu.
A
A
A

BANTING - Geng pecah rumah yang aktif sejak dua bulan lalu tumpas selepas dua lelaki diberkas di Telok Panglima Garang, di sini pada 7 dan 8 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 46 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Balai Polis Telok Panglima Garang.

Katanya, hasil tangkapan tersebut polis berjaya merampas barangan seperti wang tunai dan telefon bimbit disyaki hasil daripada kegiatan pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang.

"Siasatan mendapati geng ini aktif dalam jenayah pecah rumah sejak dua bulan lalu.

"Semakan juga mengesahkan suspek yang masing-masing tidak bekerja serta pencuci kereta itu memiliki sembilan dan dua rekod jenayah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, polis percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes pecah rumah namun masih giat mengesan seorang lelaki disyaki rakan jenayah suspek yang masih bebas.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, polis menerima laporan daripada seorang juruteknik berusia 38 tahun memaklumkan kejadian pecah masuk rumahnya di Telok Panglima Garang, Banting pada 7 Mac dan kerugian pelbagai barang kemas seperti rantai emas, subang emas, loket emas serta wang tunai.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!