Pemergian Haziq diratapi seluruh Malaysia
KUALA LUMPUR - Pemergian Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang dilaporkan hilang selepas insiden tembakan di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand mengundang kesedihan seluruh rakyat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya yang disahkan terbunuh tengah malam semalam dalam tragedi tembakan pengganas Jumaat lalu.
Menerusi laman Twitter beliau, Dr Wan Azizah mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diberikan kekuatan buat keluarganya.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Cukup pilu mendapat berita Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang disahkan maut dalam kejadian keganasan di Christchurch, New Zealand,” katanya, hari ini.
Kementerian Luar awal pagi tadi mengesahkan Muhammad Haziq, 17, terbunuh manakala bapanya, Mohd Tarmizi Shuib yang cedera dalam serangan itu sedang menerima rawatan.
Berita sedih itu turut mendapat reaksi pemimpin negara yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah turut merakamkan ucapan takziah menerusi laman Twitter beliau, hari ini.
“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Bin Mohd Tarmizi.
“Bersama kita doakan agar ALLAH SWT hujani segala rahmat dan keberkatan ke atas roh beliau seterusnya ditempatkan di kalangan para Nabi, syuhada dan golongan orang beriman,” tulis beliau.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga remaja tersebut.
“Takziah kepada keluarga Allahyarham Haziq Tarmizi yang disahkan meninggal dunia di Christchurch,” kata Guan Eng melalui Twitter beliau.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pula mendoakan agar roh Muhammad Haziq dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Bin Mohd Tarmizi yang terkorban dalam tragedi Christchurch. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” ciap beliau di laman Twitternya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyatakan rasa sayu sebaik menerima perkhabaran itu dan mendoakan agar arwah mendapat ‘jannatul firdausi’.
“Salam takziah dari saya buat keluarga serta sahabat handai Allahyarham Haziq Tarmizi yang terkorban ketika serangan di masjid Christchurch, New Zealand baru baru ini.
“Sayu mendengar berita ini. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam golongan orang orang yang beriman dan mendapat jannatul firdausi. Amin. Al-Fatihah,” tulis beliau di laman Facebooknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!