Lelaki ditahan pelihara Serval Cat, Blue Monkey

Kucing liar spesies Serval Cat dan monyet spesies Blue Monkey dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor pada 9 Mac lalu.
Kucing liar spesies Serval Cat dan monyet spesies Blue Monkey dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor pada 9 Mac lalu.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Hasrat seorang lelaki untuk memelihara kucing liar Afrika atau Serval Cat dan monyet spesies Blue Monkey bernilai hampir RM200,000 tidak kesampaian apabila ditahan pihak berkuasa di sini, pada 9 Mac lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota Perhilitan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) kira-kira jam 9.30 malam.

Katanya, pemeriksaan di rumah terbabit menemui tiga ekor kucing spesies Serval Cat dan dua ekor monyet spesies Blue Monkey yang dipercayai berasal dari benua Afrika.

"Mengikut maklumat, seekor kucing (Serval Cat) itu bernilai RM40,000 hingga RM60,000 manakala spesies monyet terbabit bernilai lingkungan RM4,000 hingga RM8,000.

"Siasatan awal mendapati pemilik premis gagal mempamerkan lesen menyimpan bagi kesemua hidupan liar terbabit.

"Soal siasat terhadap suspek mengaku memiliki binatang liar dilindungi itu untuk dipelihara," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua binatang liar yang diletakkan di dalam sangkar itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Kata Abdul Kadir, pihaknya masih menyiasat untuk mengenal pasti bagaimana binatang liar dilindungi itu dibawa masuk ke dalam negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita memandang serius aktiviti menyimpan dan menjual hidupan liar dilindungi dan akan meneruskan operasi secara bersepadu menerusi OBK dalam usaha melindungi binatang liar dan spesies terancam," katanya.

Tegasnya, mana-mana individu yang menjalankan aktiviti kegiatan pemburuan haram, pencerobohan dan pelbagai kesalahan jenayah hidupan liar diingatkan agar menghentikan kegiatan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh salurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!