Ten Hag kecewa dengan aksi Ajax
PENGENDALI Ajax, Erik ten Hag menyifatkan kekalahan 0-1 kepada Benfica pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi sebagai satu perkara yang sukar untuk diterima buat dirinya.
Menurut Erik, dia kecewa dengan pemainnya yang gagal memanfaatkan kelebihan mendominasi hampir keseluruhan permainan sekaligus sehingga menyebabkan Ajax tersingkir buat kali ke-11 sepanjang 12 percubaan terakhir mereka.
"Kami bermain dengan baik, kami bagus ketika bertahan dan kami juga bermain baik ketika memberikan tekanan. Dan ia menjadi lebih pahit apabila anda tidak menang,"
"Sudah tentu kesilapan kecil bakal mengundang akibat yang besar dan anda dapat melihatnya malam ini serta ketika di Lisbon.
"Kami sedar mereka pasukan yang hebat ketika set-piece dan terdapat salah faham di antara dua pemain kami.Kami dapat mengekang mereka hampir keseluruhan aksi kecuali ketika saat itu," katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Johan Cruyff Arena, tonggak serangan Benfica Darwin Nunez memastikan kemenangan agregat 3-2 buat Benfica apabila menanduk masuk gol tunggal perlawanan yang juga merupakan jaringan keempatnya dalam saingan tersebut musim ini.
Kemenangan Benfica itu menyaksikan pasukan itu kini berada dalam kelompok lapan terakhir buat pertama kali sejak tahun 2016.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!