Rangnick berang taktikal Atletico lambatkan permainan
PENGENDALI sementara Manchester United, Ralf Rangnick mendakwa taktik melengah-lengahkan permainan yang diguna pakai Atletico Madrid pada aksi timbal balik kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di Old Trafford menjadi punca pasukannya tersingkir daripada saingan itu.
Pada perlawanan tersebut, gol tandukan Renan Lodi hasil hantaran lintang Antoine Griezmann pada separuh masa kedua memastikan kelebihan agregat 2-1 buat pasukan juara bertahan LaLiga selepas terikat 1-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 tiga minggu lalu.
"Saya rasa kami bermain dengan baik di babak pertama seperti yang kami rancang dengan tahap kecergasan tinggi. Bagaimanapun kami gagal untuk mencipta satu atau dua gol pada babak tersebut.
"Ia bertambah sukar apabila memasuki babak kedua yang mana kami sentiasa diganggu. Setiap masa akan ada pemain yang terbaring di atas padang. Saya boleh katakan terdapat keputusan pengadil yang menimbulkan tanda tanya.
"Pengadil sering tertipu dengan taktik membazirkan waktu pemain-pemain dan tambahan masa empat minit. Itu sesuatu yang tidak masuk akal bagi saya,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih Atletico Diego Simeone memuji anak buahnya setelah berjaya mengekang barisan serangan United diterajui Cristiano Ronaldo.
"Apabila mereka bekerja sebagai satu pasukan seperti dalam perlawanan ini, ia membuatkan saya teruja.
"Kami amat berdaya saing. Gol itu memberikan kami kelebihan dan pada babak kedua kami mempamerkan aksi menakjubkan, salah satu yang terbaik musim ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!