Selangor cadang bubar DUN selepas habis penggal
SHAH ALAM - Selangor tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil daripada perbincangan bersama Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) dan menteri besar lain yang sepakat membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir.
"Kita (sudah) sepakat adalah lebih baik dan lebih berkesan jika pentadbiran (negeri) ini diselesaikan sehingga habis penggal maknanya sehingga bulan empat atau lima tahun hadapan.
"Maknanya (itu) kalau dari pandangan saya sebab ia (bubar DUN Selangor) bukan daripada pengumuman saya (semata-mata) kerana (perlu) perkenan di bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
"Usaha untuk membubarkan DUN (Selangor) adalah atas cadangan menteri besar dan itu (bermaksud) saya tidak boleh cakap ini (sebagai) keputusan saya bulat-bulat," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor di Dewan Foyer di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan adalah tidak wajar jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat memandangkan pelbagai perancangan kerajaan negeri masih dalam proses pelaksanaan.
"Kita yakin dalam tempoh dua tahun kita bertarung dengan Covid-19, pertarungan itu menyebabkan beberapa usaha sebagai contoh Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) menjadi tergendala.
"SJAM hanya akan dapat berjalan sempurna menjelang akhir tahun ini atau tahun depan dan juga pelbagai program lain yang baru hendak dilancarkan dan tidak wajar untuk kita buat (PRU15) sekarang," katanya.
Menurutnya, permintaan untuk mengadakan PRU15 hanya datang daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Mungkin ada yang tidak sabar untuk pilihan raya dan mendapat kuasa (namun) sabar itu separuh daripada iman, (saya) tujukan khas untuk Presiden UMNO, (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi)," katanya.
Pada Selasa, enam negeri termasuk Negeri Sembilan dijangka tidak akan membubarkan DUN masing-masing sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan dan perkara itu sudah dibincangkan bersama lima negeri lain ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.
Sementara itu, Pas juga memutuskan untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah hingga tamat tempoh ketiga-tiganya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!