‘Datuk Seri’ didakwa tipu pelaburan Planetrade cecah RM2.2 juta

Kyairul Syahirin (dua dari kanan) dan Rozana (tiga dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi 12 pertuduhan kes pelaburan Planetrade yang tidak wujud mencecah RM2.2 juta, tahun lalu.
Kyairul Syahirin (dua dari kanan) dan Rozana (tiga dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi 12 pertuduhan kes pelaburan Planetrade yang tidak wujud mencecah RM2.2 juta, tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan yang menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 12 pertuduhan menipu 12 individu berhubung pelaburan Planetrade yang tidak wujud mencecah RM2.2 juta, tahun lalu.

Kyairul Syahirin Ahmad, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Datin Sabariah Othman.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa menipu 10 wanita dan dua lelaki, dengan mempercayai bahawa dia akan menjalankan pelaburan melalui Bursa Saham Malaysia.

Ia mendorong mangsa-mangsa memindahkan sejumlah RM2.2 juta ke akaun bank syarikat milik tertuduh antaranya Planemax Essentials Sdn Bhd, Planetrade Holdings Sdn Bhd, Planeworld Flexi Sdn Bhd, Planetrade Premier Sdn Bhd yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya, jika tidak diperdayakan sedemikian.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Intisari, Desa Park City antara 2 Februari hingga 28 November 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan wanita, Rozana Mohamed, 54, mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan bersubahat dengan Kyairul Syahirin untuk menipu 12 individu sama, berhubung pelaburan dan nilai sama di lokasi serta tarikh serupa.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama dengan peruntukan hukuman sama.

Artikel Berkaitan:

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi dan Nur Aqilah Ishak.

Kyairul Syahirin diwakili peguam, Ashok Athimulan manakala Rozana diwakili Arik Zakri Abdul Karim.

Bagi kesemua pertuduhan, mahkamah membenarkan Kyairul Syahirin diikat jamin sebanyak RM120,000 manakala Rozana RM90,000 dengan seorang penjamin.

Mereka juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan passport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 April dan 3 Mei depan.

Pada dua minggu lalu, Sinar Harian melaporkan sindiket penipuan pelaburan Planetrade membabitkan kerugian RM3.32 juta, didalangi lelaki yang menggunakan gelaran Datuk Seri palsu, berjaya ditumpaskan dalam serbuan berasingan di ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!