Sidang DUN Negeri Sembilan bermula Isnin depan
SEREMBAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada Isnin depan (21 Mac) dan akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembukaan persidangan DUN itu akan disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berserta titah ucapan dengan sidang berlangsung hingga Khamis (24 Mac).
"Kita bersetuju untuk mengikut SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan dan Kementerian Kesihatan serta apa yang dilaksanakan seperti pada sidang Parlimen, insya-ALLAH," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin menasihatkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak berhadapan dengan masalah kewangan dan keperluan mendesak untuk tidak mengeluarkan simpanan hari tua mereka itu.
"Ada pihak yang menghadapi masalah seperti dilanda banjir dan memerlukan duit untuk membaiki kenderaan dan sebagainya. Itu tidak menjadi masalah tetapi bagi mereka yang berada dalam keadaan selesa termasuk tiada pemotongan gaji atau gaji masih mencukupi dinasihatkan tidak mengeluarkannya," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu memaklumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sehingga RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!