Kenyataan Khairuddin keluar Pas 'sementara' tidak masuk akal

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - "Saya tidak mahu kata kepada rakan saya tetapi tidak masuk akallah," kata Muhammad Sanusi Md Nor mengulas kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengambil keputusan berhenti sementara sebagai ahli Pas iaitu dua hari selepas mengumumkan keluar parti itu pada Isnin.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu memberitahu, beliau tidak pernah melihat mana-mana individu yang memutuskan untuk keluar sebagai ahli Pas 'secara sementara'.

"Mana boleh berhenti sementara kemudian masuk balik. Siapa nak bagi masuk balik?

"Berhenti sementara tiada dalam perlembagaan. Saya pun tidak tahu nak gelak atau menangis.

"Berhenti sementara kemudian masuk semula. Tidak boleh. Dia main dengan terma ikut suka dialah," katanya.

Beliau bagaimanapun mengucapkan selamat maju jaya kepada Mohd Khairuddin walaupun rakannya itu telah mengambil keputusan meninggalkan Pas serta-merta pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa tindakan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas keluar parti itu tidak dijangkakan sama sekali, namun menyifatkan ia bukanlah perkara yang terlalu mengejutkan.

Beliau menjelaskan, tindakan keluar masuk parti merupakan perkara biasa dalam politik termasuklah Pas.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan meninggalkan Pas itu tidak memberi kesan apa-apa. Ramai yang pernah meninggalkan Pas, malah ada Presiden Pas pernah keluar Pas. Tiada masalah.

"Bagaimanapun, kita menghargai jasa-jasanya selama ini. Orang lain pun berjasa dan dia juga berjasa, namun dalam Pas ada disiplin, aturan-aturan dan perlembagaan yang perlu dipatuhi," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan berhenti menjadi ahli Pas berkuat kuasa Isnin.

Bagaimanapun, Khairuddin menjelaskan keputusan berhenti daripada keanggotaan Pas adalah bersifat sementara.

Malah beliau sedia kembali kepada parti itu setelah matlamat melihat Pas diuruskan dengan betul, tercapai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!