Penjara di Malaysia alami kepadatan banduan
GEORGETOWN - 50 buah penjara termasuk penjara satelit di seluruh negara mengalami kepadatan banduan sehingga melebihi kapasiti yang sepatutnya iaitu sehingga 70,000 orang banduan berbanding 62,000.
Antara penjara yang mengalami kepadatan banduan adalah Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang dengan jumlah banduan melebihi 6,000 berbanding kapasiti sebenar iaitu hanya 3,000 orang.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Jabatan Penjara Malaysia(JPM), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, bagaimanapun keadaan itu masih terkawal.
"Di Pulau Pinang, Penjara Seberang Perai dan Penjara Reman Pulau Pinang juga mengalami perkara sama yang mana jumlah banduan di Penjara Seberang Perai ketika ini adalah 1,900 sedangkan kapasitinya hanya 1,500 sahaja.
"Sementara Penjara Reman Pulau Pinang pula, jumlah banduan yang ada sekarang adalah 1,900 orang namun kapasitinya adalah 1,100 orang banduan.
"Secara keseluruhannya terdapat lebihan 8,000 banduan di seluruh negara namun keadaan ini masih lagi terkawal kerana kita mempunyai 10 penjara satelit di seluruh negara," selepas menghadiri majlis serah terima tugas Pengarah Penjara Pulau Pinang di Penjara Reman Pulau Pinang di sini pada Rabu.
Pada majlis tersebut, bekas Pengarah Penjara Perlis, Zulkifli Abdul Manah dilantik sebagai Pengarah Penjara Pulau Pinang manakala Roslan Mohamed yang sebelum ini merupakan Pengarah Penjara Pulau Pinang akan menjawat jawatan Pengarah Penjara Melaka.
Dalam perkembangan sama, Ibrisam berkata, Jabatan Penjara Malaysia (JPM) mahu lebih ramai banduan yang menjalani hukuman ringan dikenakan sistem parol dan pemulihan dalam komuniti.
Katanya, berdasarkan maklumat mendapati, hanya 0.4 peratus daripada banduan yang menjalani hukuman dalam komuniti terlibat semula dalam jenayah berbanding 13 peratus yang dihukum di penjara.
"Kita mensasarkan seramai 23,000 banduan akan menjalani hukuman dalam komuniti menjelang 2030 nanti malah sistem ini turut diiktiraf penjara di luar negara.
"Seramai 6,000 banduan menjalani hukuman menerusi sistem parol dan pemulihan dalam komuniti di seluruh negara pada ketika ini. Kita lihat, mereka ini menunjukkan perkembangan baik kerana tinggal dengan keluarga serta hidup dalam masyarakat.
"Selain itu, ia juga sebagai persiapan menghadapi dunia luar selepas bebas kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!