Onn Hafiz akan teruskan misi, visi Hasni
SIMPANG RENGGAM - Menteri Besar Johor yang baharu Datuk Onn Hafiz Ghazi akan bekerjasama serta meneruskan misi, visi dan manifesto bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.
Berkongsi perbualannya bersama Hasni sebelum mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Bukit Serene pada Selasa, Onn Hafiz berkata, Hasni juga akan memberikan bantuan dan sokongan kepadanya dalam memimpin negeri itu.
"Saya tidak pernah lihat seorang pemimpin yang sangat berjiwa besar seperti Datuk Hasni. Dia (Hasni) cakap dekat saya, Onn jangan risau, pimpin (Johor) baik-baik, saya akan bantu dan sokong.
"Saya sangat menghargainya. Insya-ALLAH saya akan terus berjumpa Hasni untuk mendapatkan nasihat serta pandangan, supaya yang berpengalaman dapat bergabung dengan yang muda,” katanya dengan nada sebak pada program Sembang Santai bersama Menteri Besar pada Rabu.
Lebih 300 penduduk hadir pada majlis itu untuk menyambut Onn Hafiz dan ucapan pada program berkenaan merupakan yang pertama buat beliau sebagai Menteri Besar Johor ke-19.
Onn Hafiz memulakan tugasnya secara rasmi di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di Johor Bahru pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Selasa.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 43, memenangi pertandingan empat penjuru menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional, R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543.
Barisan Nasional memenangi PRN Johor dengan memperoleh lebih dua pertiga majoriti, memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!