PAU 2021 perlu cetus idea baharu agar UMNO kekal relevan
JOHOR BAHRU - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 perlu menjadi medan yang mencetuskan idea baharu dan lebih segar untuk merangka hala tuju parti itu agar kekal relevan pada masa depan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO perlu berfungsi sebagai sebuah parti politik yang moden agar tidak ketinggalan zaman selain terus meraih sokongan rakyat.
"Mengurus cabaran semasa dan masa depan parti ini sangat penting kerana UMNO bukan lagi parti dalam zaman 80-an dan 90-an. Ia telah jadi parti yang moden. UMNO berfungsi dalam kurun ke21, zaman yang sangat kompleks dalam segala segi.
"Pemegang taruh UMNO juga bukan hanya orang Melayu. Ia telah melebar kepada masyarakat sivil, golongan bukan Melayu dan bumiputera bukan Islam serta rakan parti politik lain. Malah masyarakat antarabangsa juga mempunyai kepentingannya kepada UMNO secara tidak langsung.
"Semua pemegang taruh ini mempunyai kedinamikan mereka sendiri. Kerana itulah pelbagai episod yang UMNO lalui sejak akhir-akhir ini memaparkan betapa rumitnya mengurus kepelbagaian, ekspektasi dan hubungan dengan pemegang taruh kita," katanya dalam kenyatan pada Rabu.
Katanya, UMNO mesti lebih konstruktif dalam hubungannya dengan semua 'pemegang taruh' itu dan mengelak untuk bersengketa kerana tindakan tersebut tidak akan menguntungkan parti, bangsa dan negara.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata, UMNO perlu menggunakan pendekatan berkolaborasi dan bukan lagi bersaing dengan mereka.
"Bagaimana kita akan mengurus rakan dan seteru politik serta masyarakat madani dan mencari titik kerjasama demi melaksanakan tugas-tugas bangsa adalah sangat penting.
"Hanya dengan ‘collaboration’ dan usaha bersama, UMNO akan dapat memaksimumkan kebaikan, keuntungan dan kemajuan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia," katanya.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, semua itu perlu menjadi intipati yang mesti difikir dan dibahaskan dalam PAU 2021.
Menurutnya, masa depan UMNO mesti bersumberkan daripada idea, kebijakan dan kolaborasi sebagai strategi mendepani masa depan, bukan sekadar bergantung dengan legasi tanpa kesudahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!