17 rumah di Bukit Malut terbakar
LANGKAWI - Sebanyak 17 kediaman dipercayai musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Malut, Langkawi, pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata,pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.47 petang berhubung kejadian itu.
Sayani berkata, kebakaran berkenaan melibatkan 17 rumah dari tiga kelas berbeza iaitu kelas A, B dan C.
"Dua rumah kelas A masing-masing terbakar kira-kira 80 peratus dan 50 peratus, manakala sebuah rumah kelas B musnah kira-kira 95 peratus.
"Lagi 14 rumah kelas C didapati musnah sebanyak 95 peratus dalam kebakaran itu,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kebakaran kemudiannya dapat dikawal sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dan BBP Langkawi l yang tiba bersama beberapa jentera pada jam 7.47 malam
Ujarnya, kebakaran dapat dipadam sepenuhnya melalui kaedah pemadaman menggunakan tiga aliran enam pancutan dari tangki jentera pada jam 10.47 malam.
Sayani berkata, tiada mangsa terlibat dalam kebakaran tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!