Satu penghormatan dapat panggilan wakili negara

Safiq ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain. -Foto: FB FAM
Safiq ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain. -Foto: FB FAM
A
A
A

BEKAS kapten skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim meminta supaya semua pemain yang dipanggil ke pasukan kebangsaan menghormati panggilan tersebut dengan memberikan komitmen sepenuhnya.

Malah menurut pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, panggilan tersebut perlu dimanfaatkan sebaiknya para pemain kerana hanya individu tertentu sahaja yang mampu untuk menyarung jersi kebangsaan.

“Bagi saya jika kita terpilih menyertai pasukan kebangsaan selepas ini berilah yang terbaik untuk pasukan negara. Kita ada ramai pemain di Malaysia dan kita pula di antara 30 atau 25 pemain yang terpilih. Itu satu penghormatan kepada kita.

“Jadi seperti saya katakan tadi, berilah yang terbaik kepada pasukan negara dan mungkin boleh ketepikan sedikit sebarang masalah peribadi,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Dalam pada itu, Safiq ketika ditanya mengenai keputusan Rizal Ghazali yang menolak panggilan menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan di Singapura hujung bulan ini, dia enggan mengulas perkara tersebut.

“Saya tak boleh nak cakap atau komen apa-apa, mungkin dia ada sebab tersendiri. Kita tidak boleh nak salahkan sesiapa.

“Bagaimanapun, kita sendiri sebagai pemain perlu ketepikan sedikit masalah peribadi demi pasukan kebangsaan,”katanya.

Sebelum ini, penolakan pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali untuk menyertai pasukan kebangsaan mencetuskan tanda tanya apabila dia difahamkan menolak tanpa menyertakan sebarang alasan kukuh.

Artikel Berkaitan:

Susulan penolakan tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee dipanggil ke kem latihan pasukan kebangsaan.

Rizal juga berkemungkinan bakal berhadapan hukuman penggantungan daripada aktiviti bola sepak dan hukuman denda RM25,000 seandainya pemain itu terus berdiam diri.

Sementara itu, Safiq menjelaskan kehadiran semula bersama Harimau Malaya tidak disertakan tugas istimewa oleh pengendali skuad kebangsaan Kim Pan-gon.

Sebaliknya Safiq berpendapat pengendali dari Korea Selatan itu menyenaraikannya bagi latihan pusat skuad kebangsaan supaya beliau dapat menyumbangkan sesuatu kepada pasukan bagi menghadapi perlawanan di Singapura.

“Tiada apa yang istimewa kerana kebanyakan pemain dipilih menyertai skuad ini mempunyai kelebihan masing-masing dan tugas yang ditetapkan. Jadi tidak salah untuk saya dapat memberikan sesuatu dalam pasukan.

“Apa yang pasti saya sifatkan diri saya ini baharu sama seperti pemain muda lain yang berada dalam skuad ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!