Chelsea mara kelompok lapan terbaik

Azpilicueta melebarkan jaringan Chelsea pada minit ke-71.
Azpilicueta melebarkan jaringan Chelsea pada minit ke-71.
A
A
A

PENYANDANG juara, Chelsea meminggirkan sementara kemelut membelenggu kelab London itu apabila bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk menyingkirkan Lille 2-1 dari saingan Liga Juara-Juara bagi melengkapkan kemenangan agregat 4-1.

Angkatan Thomas Tuchel yang berbekalkan kemenangan 2-0 di Stamford Bridge dalam perlawanan timbal balik pusingan pertama 16 terbaik sebelum ini terlebih dahulu dikejutkan jaringan penalti Burak Yilmaz minit ke-38 dalam aksi di Stadium Pierre Mauroy itu.

Jaringan itu ternyata membangkitkan semangat baharu kepada pemain kelab Ligue 1 kendalian Jocelyn Gourvennec tersebut untuk mengasak bagi mengurangkan defisit gol.

Namun Chelsea yang terjaga dari lamunan kemudian pantas menyamakan kedudukan hasil jaringan Christian Pulisic pada minit ke-48 untuk kedudukan 1-1 babak pertama.

Kapten The Blues, Cesar Azpilicueta kemudiannya melebarkan lagi jaringan Chelsea yang beroperasi dengan lesen khas daripada kerajaan Britain, selepas menerima hantaran daripada Mason Mount pada minit ke-71.

"Semua orang tenang di kelab. Budaya kelab adalah mengenai bola sepak. Bola sepak adalah keutamaan di Chelsea, sebab itu kami memberi tumpuan kepada apa yang berlaku di atas padang dan bukan sebaliknya," kata Tuchel.

Sementara itu di Stadium Juventus, Turin, Juventus kendalian Massimiliano Allegri gagal memanfaatkan keputusan perlawanan pertama sebelum ini apabila tewas 0-3 kepada Villarreal sekali gus menyaksikan kelab La Liga tersebut mara dengan agregat 4-1.

Gol The Yellow Submarine pimpinan bekas pengendali Arsenal, Unai Emery mula dicetak menerusi Gerard Moreno pada minit ke-78, Pau Torres (85') dan Arnaut Danjuma Groeneveld (94').

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!