'Kita tidak mahu bertembung, tetapi akur dengan pucuk pimpinan'

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Situasi UMNO Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerlukan perbincangan dengan rakan gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, situasi di Sabah agak berbeza dengan negeri lain dan akan berlaku banyak kemungkinan dalam PRU akan datang.

"UMNO di Sabah, agak berlainan sedikit dengan UMNO di Semenanjung dan ini memerlukan kebijaksanaan untuk berhadapan dengan rakan-rakan dalam GRS. Saya akan cuba membincangkan perkara-perkara yang difikirkan dengan pendekatan GRS.

"Sebab kita juga tidak mahu bertembung antara satu sama lain, tetapi kita juga akur dengan pucuk pimpinan. Ini bermakna banyak kemungkinan akan berlaku sekiranya usaha-usaha yang kita rancang tidak berhasil dan bermakna ada kemungkinan-kemungkinan yang lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, dalam era politik serba dinamik, UMNO Sabah sentiasa berhadapan dengan segala kemungkinan, namun dalam masa yang sama tetap berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan bijaksana tanpa mengundang kemudaratan bagi mana-mana pihak.

"Sebab itu, politik ini semuanya ada kemungkinan tetapi saya berharap dan saya yakin rakan-rakan dalam GRS masih boleh berunding dan berbincang," katanya.

Bung Moktar dalam pada itu turut menasihatkan ahli dan penyokong UMNO Sabah untuk kekal bertenang selain terus menguatkan iltizam di peringkat akar umbi untuk dizahirkan pada PRU15 nanti.

"Saya nasihatkan kepada penyokong UMNO Sabah yang pertama ialah bertenang, kedua, perkuatkan jentera pilihan raya di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Bermakna kalau kita kuat, siapa pun kita lawan kita menang, tetapi kalau kita hanya tahu 'berteriak' tetapi di Pusat Daerah Mengundi (PDM), di cawangan, Pemuda, Puteri, Wanita kita tidak kuat, umpama teriakan tin kosonglah," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!