Biden gelar Putin penjenayah, tidak boleh dimaafkan

Vladimir Putin - Foto AFP
Vladimir Putin - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggelarkan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin sebagai penjenayah perang ketika serangan pemimpin Rusia itu di Ukraine meragut lebih banyak nyawa penduduk awam.

Gelaran paling lantang itu dibuat Biden pada Rabu setelah Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy meminta bantuan ketenteraan kepada Kongres AS dan Biden selepas tentera Rusia menceroboh negara tersebut pada 24 Februari lalu.

Washington kemudian bertindak balas dengan permintaan Zelenskyy apabila menjanjikan bantuan ketenteraan sebanyak AS$1 bilion (RM4.19 bilion) kepada Ukraine untuk memerangi tentera Rusia.

Presiden AS itu turut menciap di aplikasi Twitter dengan mendakwa Putin telah menyebabkan kemusnahan dahsyat dan mengerikan di Ukraine dengan mengebom apartmen dan wad bersalin.

Beliau merujuk kepada laporan bahawa tentera Rusia menjadikan doktor dan pesakit sebagai tebusan di hospital Mariupol.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki berkata, Biden bercakap dari hati selepas melihat imej di televisyen tindakan ketenteraan yang dilakukan tentera Rusia ke atas hospital di Mariupol itu.

Bagaimanapun, jurucakap Putin, Dmitry Peskov memberitahu, agensi berita Rusia bahawa serangan retorik Biden itu tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan kerana AS pernah melakukan pengeboman sehingga membunuh ratusan ribu penduduk di seluruh dunia.

Pada Rabu, pihak berkuasa di bandar pelabuhan Mariupol berkata, tentera Rusia membedil sebuah teater ketika ratusan penduduk awam sedang berlindung di dalam bangunan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Angka kematian dan kecederaan akibat bedilan itu setakat ini masih belum diketahui. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!