Akta pendanaan politik penting untuk demokrasi Malaysia
Ahli politik boleh mendapatkan sebanyak mungkin dana dari dalam dan luar negara. Ini menimbulkan persoalan sama ada dana ini diperolehi secara sah menurut undang-undang atau melibatkan satu usaha jenayah kewangan terancang yang menjurus kepada rasuah.
Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, penggubalan Akta Pendanaan Politik hampir menjadi kenyataan. Namun, ia tidak dibawa pada Sidang Oktober 2019 seperti yang dinyatakan. Butiran Rang Undang-Undang ini juga tidak pernah dikongsikan kepada mana-mana pihak secara terbuka. Selepas itu berlaku peralihan kuasa pada Februari 2021 dan tidak ada kenyataan berkaitan Rang Undang-Undang ini disebut akan dibawa.
Selepas peralihan kuasa sekali lagi berlaku pada Ogos 2021, isu ini kembali disebutkan oleh beberapa pihak. Meskipun ia belum dibawa setakat ini, sekurang-kurangnya pihak kerajaan sebenarnya telah bersedia untuk membawa Rang Undang-Undang ini ke Parlimen.
Sebuah Akta Pendanaan Politik sangat diperlukan. Tujuan utama akta ini adalah bagi memastikan dana politik yang diterima adalah daripada sumber bersih, menggalakkan dan memastikan persaingan yang lebih adil melalui pengukuhan operasi parti-parti politik sebagai antara tunjang sistem demokrasi.
Terdapat dua jenis pendanaan politik, iaitu secara langsung yang bermaksud geran dalam bentuk kewangan yang diuruskan sendiri oleh sesebuah parti politik. Kebanyakannya adalah untuk tujuan kempen pilihan raya, tugasan parlimen (meliputi kakitangan pentadbiran, penyelidikan legislatif dan penerbitan), penyelidikan dasar awam dan pembangunan, latihan bagi anggota dan calon, aktiviti bagi menggalakkan penyertaan kumpulan minoriti, pendidikan sivik dan pengundi serta pelbagai lagi, termasuk bagi tujuan membina hubungan luar.
Selain itu, pendanaan politik secara tidak langsung merujuk kepada penggunaan sumber yang mempunyai nilai kewangan, disediakan oleh kerajaan kepada parti politik seperti:
- Akses media awam misalnya dalam bentuk iklan atau pemberitaan;
- Penggunaan bangunan-bangunan awam untuk tujuan kempen misalnya dewan orang ramai, sekolah atau kawasan sukan dan rekreasi;
- Pembiayaan penuh pada kadar munasabah, ruang pejabat dan kakitangan wakil rakyat sah bagi kawasan pilihan raya;
- Pengenalan insentif cukai pada kadar tertentu bagi individu, syarikat atau pertubuhan yang mahu memberikan sumbangan kepada sesebuah parti;
- Pemberian percuma maklumat asas berkaitan kempen seperti daftar pemilih yang terkini (termasuk maklumat lengkap misalnya jika terdapat pengundi yang mati dan berpindah) serta peta kawasan pilihan raya; dan
- Kemudahan pinjaman untuk menjalankan kempen pilihan raya.
Meskipun umumnya pendanaan politik diterima sebagai satu aspek yang perlu dikawal selia, ia tidak semestinya mudah dilakukan, terutama di negara yang tidak mempertimbangkan keadilan dan kesamarataan peluang sebagai tunjang menegakkan demokrasi.
Peruntukan dana awam ke dalam pendanaan politik sangat penting sebagai petunjuk komitmen pelbagai parti bagi menjadikan Akta Pendanaan Politik sebagai langkah memperkukuhkan demokrasi dalam negara, bukan sekadar soal pengagihan sumber semata-mata.
Antara cabaran besar dalam menetapkan sejumlah dana awam bagi tujuan pendanaan politik ini ialah persepsi umum bahawa ahli-ahli politik berkemampuan dan mempunyai cara tersendiri untuk menggunakan dana awam bagi tujuan politik mereka. Umumnya, masyarakat lebih percaya dan mahu dana awam digunakan untuk tujuan lain yang disifatkan oleh mereka sebagai lebih bermanfaat.
Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) iaitu blok terbesar pembangkang adalah satu bentuk kemajuan dalam hal ini. Ia lebih mudah dijelaskan kerana penerimanya ialah ahli-ahli parlimen yang dipilih bagi kawasan masing-masing.
Namun, ia boleh dilakukan dengan lebih baik di mana semua anggota legislatif mesti dilayan secara sama rata. Ini tidak dapat dilakukan dengan lebih baik disebabkan ia bergantung kepada kemahuan politik Perdana Menteri kerana peruntukan ini diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Oleh kerana itu, pendanaan politik mesti dibuat secara undang-undang bagi mengawal selia dengan lebih baik. Satu variasi formula pendanaan boleh ditentukan daripada kelayakan penyumbang swasta, jumlah dan pemantauan terhadapnya.
Satu usaha diperlukan bagi meyakinkan pengundi pendanaan politik secara langsung dan tidak langsung dan ini akan membantu mengukuhkan demokrasi. Sebagai pengundi, mereka akan menjadi lebih terdedah kepada sistem semak dan imbang sekali gus menjadi lebih terbuka.
Dengan cara ini, hak-hak demokrasi mereka – yang tidak hanya terhad kepada mengundi – akan lebih terpelihara misalnya untuk lebih terlibat mempersoalkan dan menyemak dasar-dasar kerajaan, bahkan wakil rakyat yang dipilih. Pada akhirnya, pengundi akan berpeluang menilai dan memilih wakil mereka dan kerajaan yang lebih mewakili kehendak mereka.
Bagi memastikan seluruh proses mencapai tujuan penggubalan akta ini, satu laporan kewangan dan audit perlu dikemukakan dan boleh diakses oleh orang ramai. Sebuah suruhanjaya boleh dibentuk bagi tujuan ini dan bertanggungjawab kepada parlimen melalui laporan mereka. Suruhanjaya ini mesti mempunyai akses kepada semua laporan kewangan dan audit yang dibuat untuk memastikan pematuhan kepada Akta yang digubal.
Bagi menjayakannya, perbincangan terperinci mesti dilakukan untuk menentukan prinsip, skop dan pelaksanaannya yang wajar dalam dinamik budaya politik di Malaysia.
*Artikel ini merupakan kerjasama dan sokongan Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!