Filem biografi Wak Doyok
SELEPAS kejayaan filem pertama menerusi Abang Long Fadil 2 arahan Syafiq Yusof, kini Mohd Azwan Md Nor, 39 atau nama komersialnya Wak Doyok, berasa bertuah apabila namanya menjadi pilihan penerbit filem di Indonesia.
Ujar Wak ketika ditemui pada sidang media Majlis Karnival Jualan Bling Bling Tour 2019 yang diadakan di Embassy, The Starling Mall baru-baru ini, filem genre biografi tersebut bakal menceritakan kembara hidupnya sebelum bergelar usahawan terkenal.
“Bagaimanapun semua ini masih lagi fasa perbincangan, namun saya sudah dihubungi pihak produksi mengenai hal ini.
“Ketika dimaklumkan, saya agak terkejut dan memang tidak menyangka apabila nama saya dipilih. Sebab selain saya ada dua lagi bintang besar iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Amy Search sendiri. “Begitu pun saya difahamkan ini berdasarkan undian yang telah dibuat dan nama saya menerima undian tertinggi peminat di sana,” ujarnya.
Filem berkenaan bakal diarahkan oleh pengarah terkenal Indonesia, Hanung Bramantyo. Kongsi Wak, filem itu akan menggunakan bahasa Indonesia dan dia akan terlibat sepenuhnya memandangkan ia adalah kisah hidup sendiri.
“Filem ini akan menceritakan permulaan saya sebagai seorang yang tidak mempunyai apa-apa dan bagaimana perjalanan saya untuk berada di tahap kini. “Mungkin saya hanya akan buat cameo sahaja di akhir cerita, tapi tengok dulu bagaimana,” jelas Wak kepada Sinar Harian wataknya akan dilakonkan oleh rakan sendiri iaitu Alex Abbad yang juga merupakan seorang pelakon terkenal.
Diajukan soalan apakah yang mungkin menjadi kekuatan dalam pemilihan Wak untuk diterbitkan kisahnya di sana, kata Wak mungkin kerana ada kelebihan pandai bertutur dalam bahasa Jawa.
“Mungkin antara sebabnya saya pandai berbahasa Jawa dan sejak dari tahun 2015 lagi saya sudah berulang alik ke sana selain mengadakan seminar mengenai cara pemakaian, dan nama saya juga turut mewakili beberapa produk di sana,” kata Wak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!