Pemuda UMNO Pontian minta Shahrir berhenti kritik MB Johor
PONTIAN - Pemuda UMNO Pontian menggesa veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad segera menghentikan kritikan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ketuanya, Mohd Helmi Buang berkata, keputusan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu adalah muktamad dan jelas seperti yang termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Katanya, Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru seharusnya menunjukkan teladan yang baik dengan merujuk kepada Perlembagaan UMNO yang menjunjung kedaulatan dan institusi Istana.
"Bidang kuasa rakyat, ahli politik tidak boleh disamakan dengan bidang kuasa Sultan. Jika rakyat diberi kuasa untuk memilih siapakah wakil rakyat untuk mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Oleh yang demikian, Sultan juga berhak dan berkuasa untuk melantik Menteri Besar bagi mengetuai kerajaan baginda," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas Mohd Helmi, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad pernah mengeluarkan kenyataan orang muda perlu diberi peluang mentadbir Johor kerana mereka mempunyai idea-idea yang kreatif dan kritis dalam mengatasi isu-isu ekonomi, sosial dan politik.
"Pertumbuhan ekonomi di Johor perlu dirancakkan oleh idea-idea segar pemimpin yang baharu dan muda, kerana kami golongan muda hari ini adalah pelapis generasi akan datang bagi menerajui pentadbiran negara berjiwa besar memajukan negeri yang kami cintai ini.
"Tambahan pula, dengan pelantikan dari generasi muda mampu menarik perhatian rakyat khususnya anak muda, dan juga pelbagai peringkat usia di bandar dan luar bandar.
"Selain daripada itu, pemimpin dari generasi muda juga mampu mendepani serta berhujah dengan pihak pembangkang negeri ini yang rata-rata berusia muda," katanya.
Mohd Helmi berharap agar Shahrir berpijak di bumi yang nyata dan menghayati budaya bersih dan proses pemutihan sedang berlaku untuk memilih ketua yang tergolong dari dalam golongan muda.
"UMNO Johor juga tidak pernah lupa sejarah lama di mana beliau pernah keluar dari UMNO kerana perkara yang kita pun tidak pasti, jadi jangan cuba-cuba membawa fahaman yang tidak baik terhadap masyarakat khususnya Bangsa Johor yang penuh dengan adab dan sopan santunnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!