Ibu didakwa bunuh anak perempuan
TELUK INTAN - Seorang surirumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Khamis atas dakwaan membunuh anak perempuannya berusia dua tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Thang Pui Ling, 33, mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim K Rajeswari.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Heng Jing Yi berusia dua tahun di alamat Taman Seri Iskandar, Hutan Melintang, Bagan Datuk pada jam 2 pagi, 9 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia disyaki didera ibu kandungnya dalam kejadian pada Rabu, minggu lalu.
Kejadian itu disedari selepas kanak-kanak terbabit dihantar ke sebuah hospital swasta di sini oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan alasan mengalami sesak nafas.
Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kesan luka di bahagian tubuh badan mangsa termasuk kesan gigitan.
Wanita terbabit berjaya ketika hadir menyerah diri di Balai Polis Teluk Intan pada hari sama sekitar jam 5 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!