Puteri UMNO ucap selamat tinggal kepada Pas
KUALA LUMPUR - Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mengucapkan selamat tinggal kepada Pas susulan parti tersebut lebih memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas Pas dilihat lebih selesa untuk bersama dengan parti picisan UMNO itu.
“Kita berkali-kali memberitahu Pas kalau mahu Bersatu, Bersatulah kamu. Kalau mahu kami (UMNO) maka ayuh bersama kami. Tinggalkan Bersatu.
“Di Melaka dan Johor, Pas membuat keputusan (yang mana) mereka lebih rela memeluk katak dan mandi di kolam yang penuh jengking, daripada kita yang sama-sama membentuk ummah Muafakat Nasional (MN).
“Selamat tinggal Pas. Semoga bahagialah kamu dengan pasangan hidupmu di kalangan katak dan jengking tadi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Zahida berkata, episod lalu telah mengajar UMNO mengenal ‘siapa kawan dan siapa lawan’.
“Di Melaka, tawaran kita kepada Pas ditolak kerana mereka lebih selesa dengan PN dari MN. Di Johor pun begitu. Justeru, episod yang lalu mengajak kita mengenal siapa kawan dan siapa lawan,” katanya.
Zahida turut menyifatkan bahawa tiada poligami dalam politik dan Pas perlu memilih satu parti sahaja.
“Tiada poligami dalam politik. Pilih satu antara dua. Bersatu adalah parti picisan UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), malah mereka (Bersatu) sendiri ada sejarah pengkhianatan dalam kalangan mereka. Mereka bukan cita rasa kami,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!