Dua penjawat awam didakwa kemuka tuntutan palsu
JOHOR BAHRU - Dua penjawat awam dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana mengemukakan butiran sebut harga palsu bagi menuntut bayaran RM7,200 terhadap kursus yang tidak diadakan, enam tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, bekas Penolong Pegawai Tadbir, Hafizah Ab Talib, 44, dan Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Azarudin Asrap, 43, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Hafizah yang kini bertugas di Kementerian Pertahanan, didakwa memperdayakan prinsipalnya iaitu ILP dengan mengemukakan dokumen Kertas Kerja Bengkel Pemantapan Modal Insan ILP Tangkak Tahun 2016 dan Sebut Harga Perkhidmatan Kursus Pengurusan Organisasi Efektif mengandungi butiran palsu.
Sebut harga itu bagi mengadakan Kursus Pengurusan Organisasi Efektif atas nama Jati Selatan Services and Trading berjumlah RM7,200, sedangkan kursus tersebut tidak diadakan.
Azarudin pula didakwa bersubahat dengan Hafizah, atas kesalahan yang sama.
Hafizah didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala Azarudin pula menerusi Seksyen Seksyen 28(1)(c) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di ILP Tangkak, di Kilometer 43, Jalan Segamat, Tangkak antara November hingga Disember 2016.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin dengan Hafizah diwakili MJ Pereira manakala Azarudin tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu, Ikhwan menawarkan kedua-dua tertuduh jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes pada 19 April ini untuk serahan dokumen dan memberi ruang bagi Azarudin untuk melantik peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!