Ketua balai polis tidak mengaku minta, terima rasuah

Abdul Halim (tengah) dituduh meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Abdul Halim (tengah) dituduh meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang ketua balai polis tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM21,800.

Tertuduh Abdul Halim Alias, 59, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dia didakwa secara rasuah meminta suapan wang tunai sebanyak RM8,000 dan RM1,000 secara bulanan.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemilik pusat hiburan atas kesalahan melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam prosiding yang sama, tertuduh yang berpangkat Sub Inspektor turut berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) iaitu secara rasuah bersetuju memperoleh wang tunai sebagai dorongan bagi tidak mengambil tindakan terhadap pemilik pusat hiburan itu atas kesalahan melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran The Stage Music Lounge Plt, Kota Shahbandar dan Balai Polis Tengkera di antara 4 hingga 11 Ogos 2020.

Kesemua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya SPRM.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 April sebagai sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!