Malaysia sertai rundingan penambahbaikan Atiga ASEAN

Mohamed Azmin - Foto Bernama
Mohamed Azmin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mengambil bahagian dalam Rundingan Penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (Atiga) bagi mencapai resolusi yang lebih awal.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kepentingan bagi memastikan libat urus secara holistik dan inklusif agar sebarang kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan dapat ditangani dan diselesaikan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata Rundingan Penambahbaikan Atiga tersebut telah dilancarkan secara maya oleh barisan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bersempena Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-28, semalam.

Rundingan tersebut disifatkan amat penting dalam usaha memperkukuh perdagangan intra serantau dan menggalakkan rantau yang lebih kesalinghubungan, inklusif, berdaya tahan serta kompetitif.

Menurut MITI, Sesi Pemukiman AEM kali ini juga diakhiri dengan lebih bersemangat apabila kalangan menteri-menteri terbabit bertindak merangka Rancangan Kerja Ekonomi Serantau bagi 2022, khususnya pengesahan berkaitan bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) ASEAN 2022 sebagaimana yang dicadangkan oleh Kemboja selaku Pengerusi ASEAN.

Pada sesi berkenaan, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN juga bersetuju untuk melanjutkan memorandum persefahaman mengenai pelaksanaan langkah-langkah bukan tarif ke atas barangan perlu sehingga 2024.

Mereka juga bersetuju untuk memperluas senarai barangan perlu sedia ada dan menekankan kepentingan melaksanakan kajian mendalam mengenai impak terhadap aliran dagangan barangan tersebut.

"Bagi aspek pemulihan ekonomi serta meningkatkan semula perdagangan serantau, menteri-menteri terbabit juga sebulat suara dalam menyuarakan komitmen terhadap pelaksanaan PED utama, termasuk mempertingkat Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand, rangka kerja bagi menggalakkan pertumbuhan ekosistem syarikat permulaan digital serta mekanisme dasar mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Merujuk semakan semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India, MITI berkata Malaysia yang berperanan sebagai penyelaras negara bagi hubungan ekonomi ASEAN-India, telah menggesa agar semua pihak dapat mempercepat pengesahan kertas kerja bagi melancarkan rundingan semakan semula Atiga pada sesi rundingan khas AEM-India.

Selain itu, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN itu turut meneruskan penglibatan aktif dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dengan tumpuan utama terhadap usaha meningkatkan semula sektor pelancongan dan penerbangan, membantu PMKS dan pelaksanaan ekonomi digital.

Menurut MITI, langkah ASEAN-BAC menubuhkan Kumpulan Kerja Ekonomi Hijau dan Mampan bagi memperjuangkan agenda kemampanan di rantau ini, juga dilihat sebagai bertepatan pada masanya.

"Dalam soal ini, adalah penting untuk menyatakan bahawa di bawah bidang kuasa Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi mengenai Integrasi Ekonomi, Sekretariat ASEAN dan Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur sedang memuktamadkan nota konsep berkaitan Karbon Berkecuali -- satu inisiatif yang diketengahkan oleh Malaysia pada September lepas,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!