Peluang terbaik Liverpool rampas takhta EPL
KEJAYAAN menewaskan Arsenal di Emirates pada Khamis dilihat merupakan peluang terbaik Liverpool untuk merampas teraju Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila meraih hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City ketika ini.
Bagaimanapun menurut pengendali The Reds, Jurgen Klopp, beliau tidak begitu berminat dengan situasi berkenaan tetapi lebih menumpukan terhadap persediaan untuk mengharungi perlawanan seterusnya.
“Pasti ramai yang menyifatkan saya akan memberikan fokus untuk mencabar kedudukan pendahulu EPL, tetapi saya cenderung untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi perlawanan akan datang.
“Lagi pun, kami dalam kedudukan terbaik ketika ini. Itu sudah mencukupi kerana kita hanya ketinggalan satu mata berbanding City.
“Yang penting, kita perlu terus memenangi perlawanan kerana kita juga bakal berdepan City dalam salah satu baki perlawanan musim ini nanti,” katanya.
Untuk rekod, Liverpool menang 2-0 di Emirates pada Khamis hasil jaringan Diogo Jota pada minit ke-54 dan Roberto Firmino (min-62).
Kemenangan itu menyaksikan The Reds kini meraih 69 mata di belakang City yang meraih 70 mata setakat ini.
Klopp juga yakin, skuad kendaliannya itu mampu untuk terus memberikan tekanan kepada Manchester City dalam perebutan takhta EPL musim ini.
Katanya, dengan kesebelasan pemain yang dimiliki ketika ini, tekanan-tekanan yang diberikan kelak dilihat mampu memberikan kesan kepada prestasi City sekali gus membuka peluang buat The Reds menerajui liga.
“Musim ini adalah musim yang agak baik bagi kami dan kini kami hanya satu mata ketinggalan di belakang pendahulu.
“Bagaimanapun, ia tetap merupakan perkara yang sama iaitu kami perlu terus menang selepas ini bagi meraih mata semaksimum yang boleh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!