Malaysia bersedih, doakan Haziq

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Berita pemergian Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang maut dalam insiden tembakan pengganas di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat lepas meruntun hati rakyat Malaysia.

Hampir seminggu mencari, akhirnya Wisma Putra mengesahkan remaja tersebut telah meninggal dunia dan perkhabaran itu ternyata membuatkan bukan hanya keluarganya bersedih malah rakyat Malaysia turut sama berdukacita.

Dalam Facebook Sinar Harian, ramai berkongsikan kesedihan mereka malah ramai juga mendoakan agar roh arwah ditempatkan di syurga dan berharap keluarga Muhammad Haziq tabah menghadapi dugaan berat itu.

Adilah Najihah Abu Bakar dan Ummi Izara berkongsi kesedihan dan turut mendoakan agar roh arwah tenang.

“Sebaknya.. Sebab tertunggu-tunggu perkembangan adik ini.. Moga tenang kau di sana dik.. Syahid milik kamu InsyaALLAH,” tulis Adilah Najihah Abu Bakar.

Ummi Izara pula menulis: “Alhamdulillah dah pun dijumpai..walau apa pun keadaannya saya harap keluarga Haziq bersabar tabahkan hati..Haziq insan terpilih..beruntung kamu sebab ada ahli keluarga yang istimewa di sisi ALLAH.

“Inna lillahi wa inna lillahi rojiun..salam takziah dari saya sekeluarga,” komennya.

Sementara itu, Nurul Farhani pula berkata Haziq merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang syahid di New Zealand.

Artikel Berkaitan:

“Haziq satu-satunya rakyat Malaysia yang syahid di NZ. Semoga syurga buatmu adik,” tulisnya.

Seorang netizen yang menggunakan nama ‘Haziq’ turut mendoakan agar arwah remaja itu bergembira di akhirat kelak.

“Inna lillahi wainna ilaihi rajiun. Semoga bergembira di akhirat kelak wahai syuhada allah,” katanya.

Sejak dari tengah malam tadi dan sehingga hari ini, media sosial dipenuhi ucapan takziah kepada anak muda itu yang menjadi korban dalam tragedi berdarah di Christchurch, New Zealand.

Semua menzahirkan kesedihan dengan pemergiannya dan mendoakan agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!