Penarik kereta dilepas, dibebas daripada tuduhan bunuh kontraktor

Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Khamis melepas dan membebaskan seorang penarik kereta atas pertuduhan membunuh seorang kontraktor, 11 tahun lepas. - Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Khamis melepas dan membebaskan seorang penarik kereta atas pertuduhan membunuh seorang kontraktor, 11 tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis melepas dan membebaskan seorang penarik kereta atas pertuduhan membunuh seorang kontraktor, 11 tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan tersebut ke atas Syaiful Afikin Mohd Firus, 46, selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan di akhir pembelaan.

"Mahkamah juga mengambil maklum bahawa pendakwaan mengambil masa tujuh tahun sebelum memutuskan untuk mendakwa tertuduh, malah tiada keterangan forensik baharu diperoleh selepas tertuduh dilepaskan daripada reman antara 2011 dan 2018 apabila berlaku pendakwaan ke atas tertuduh,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan Syaiful Afikin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, katanya.

Mengikut pertuduhan, Syaiful Afikin didakwa membunuh Saw Yew Siang yang ketika itu berusia 56 tahun bersama seorang lagi yang masih bebas di Kampung Pak Jah, Tumpat lebih kurang 8 hingga 10 malam, 3 Oktober 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli manakala Syaiful Afikin diwakili peguam, Azura Ghazali.

Terdahulu, mahkamah turut melepas dan membebaskan tertuduh terhadap pertuduhan memiliki kerambit tanpa kebenaran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Bagi kes itu, tertuduh didakwa memiliki senjata itu di hadapan kedai runcit, Jalan Rambutan Rendang, Panji di sini, kira-kira 3.30 pagi pada 11 Jun 2018.

Syaiful Afikin didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!