Kenyataan Tok Mat tidak tepat: Mahdzir
KUALA LUMPUR - Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan prestasi menteri UMNO tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan sebagai tidak tepat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua menteri UMNO sudah melakukan yang terbaik terutama dalam membantu rakyat ketika berhadapan pandemik Covid-19.
"Saya fikir kenyataan Tok Mat itu sendiri tidak tepat. Beliau tidak boleh ambil dari sudut orang yang di luar (daripada kerajaan).
"Kita tahu apa yang kita buat dan kita berusaha sedaya-upaya supaya yang penting adalah untuk rakyat terutama ketika Covid-19 dan kita tahu macam mana nak tolong rakyat dalam pemulihan ekonomi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Korporat Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap menteri tahu tanggungjawab dan tugas di setiap kementerian mereka.
"Saya sebagai Menteri Luar Bandar, kita tahu apa naratif kita. Apa yang penting adalah perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengharapkan setiap pihak tidak menimbulkan sebarang polemik berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Perkara berkaitan pilihan raya ini adalah perkara yang besar. Hak pembubaran adalah hak Yang di-Pertuan Agong.
"Semua pihak mesti menghormati sistem beraja. Perdana Menteri boleh berbincang dengan kepimpinan UMNO tarikh sesuai untuk adakan pilihan raya.
"Jika dah bersetuju barulah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi, jangan timbulkan polemik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!