Imigresen mudahkan pembaharuan pasport rakyat Malaysia di Australia
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengambil beberapa langkah berhubung pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi rakyat Malaysia di Australia.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kesukaran rakyat Malaysia di Australia memperbaharui pasport akibat daripada pandemik Covid-19 dan perintah-perintah sekatan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.
Menurutnya, sejak pandemik Covid-19 melanda Imigresen menguruskan proses pembaharuan pasport berkenaan melalui Sistem Temujanji Online (STO) kerana bilangan pelanggan terpaksa dihadkan, dan tempoh operasi juga terpaksa dipendekkan.
"Imigresen telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di sana antaranya semua warganegara Malaysia di Melbourne dan seluruh Australia boleh membuat permohonan pembaharuan Pasport secara atas talian melalui Sistem Pasport Online mulai 22 Mac 2022 (Selasa).
"Selain itu, satu pasukan khas pegawai-pegawai JIM dari Putrajaya akan dihantar segera supaya bilangan pasport yang diproses di Melbourne dapat ditingkatkan dan waktu operasi dipanjangkan melalui sistem shif," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, dalam masa yang waktu operasi pejabat Imigresen di Melbourne akan dilanjutkan tertakhluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.
"Pelanjutan tempoh masa secara automatik selama dua tahun akan diberikan bagi kes-kes kritikal seperti pelajar dan pekerja supaya mereka boleh memperbaharui visa di sana.
"Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya tidak menunggu di saat-saat akhir untuk memperbaharui pasport mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!