Anak pemandu lori penerima Anugerah Pelajaran Diraja

Ashviny (kiri) dan Nurul pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini pada Khamis.
Ashviny (kiri) dan Nurul pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Tekadnya untuk bebas dari belenggu hutang selepas tamat pengajian mendorong anak kepada seorang pemandu lori belajar bersungguh-sungguh demi memastikan dia layak mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikannya.

Usaha M Ashviny, 25, itu membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan pengajian dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) sesi 2020 itu sekali gus dinobatkan sebagai antara pelajar terbaik dan penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 yang bermula pada Khamis.

Dengan kejayaan cemerlang yang diraih hasil pengorbanannya sepanjang mengikuti pengajian, Ashviny berjaya mencapai impiannya untuk bergelar seorang jurutera.

Bukan hanya itu, dia juga dapat belajar secara 'percuma' apabila layak untuk mendapatkan pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan seperti yang diharapkan.

"Semua yang saya lakukan ini demi membantu mengubah nasib keluarga.

"Tanpa bebanan hutang pengajian dan pekerjaan yang baik, saya dapat membantu keluarga untuk sebuah kehidupan lebih baik selepas ini," katanya.

Dia berkata, pengorbanan bapanya,V Murugan, 46, yang bekerja sebagai pemandu lori dan ibunya yang hanya pekerja am sebuah syarikat perladangan menjadi motivasi untuknya belajar bersungguh-sungguh.

Kecemerlangan Ashviny terserlah apabila berjaya memperoleh anugerah dekan bagi enam semester berturut-turut dan berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama dengan PNGK 3.70.

Artikel Berkaitan:

Tidak sahaja cemerlang dalam bidang akademik, Ashviny turut aktif dalam pelbagai kegiatan kurikulum.

Nurul (kiri) dan Ashviny (kanan) bersama tiga graduan cemerlang yang menerima anugerah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini pada Khamis.
Nurul (kiri) dan Ashviny (kanan) bersama tiga graduan cemerlang yang menerima anugerah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini pada Khamis.

Sementara itu, bagi seorang lagi graduan cemerlang UMP, Nurul Md Yunus, 26, kecekalan dan ketabahan ibunya menjadi pendorong serta inspirasi kejayaannya.

Anak seorang tukang jahit itu terpilih menerima Anugerah kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad.

Graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan itu berkata, kesungguhan ibunya mencari rezeki dengan menjahit pakaian untuk membesarkannya empat beradik menjadi pencetus semangat untuk dirinya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

"Kejayaan hari ini saya hadiahkan buat ibu yang selama ini menjadi pendorong terbesar saya untuk berjaya," katanya.

Nurul kini sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Sains di UMP.

Seramai 3,556 graduan UMP sesi 2020 menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMP kali ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini bermula Khamis hingga Ahad ini.

Daripada keseluruhan graduan diraikan itu, 234 daripadanya merupakan graduan doktor falsafah dan sarjana, 2,364 graduan sarjana muda dan diploma serta 958 graduan UMP ​Advanced.

Seramai 37 graduan cemerlang bakal menerima anugerah ​kecemerlangan termasuk dua penerima Hadiah Buku dan tiga Hadiah Projek Sarjana Muda (PSM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!