YKN wujudkan tiga lagi Anjung Kasih
KOTA BHARU – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerima sumbangan sebanyak RM6.5 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mewujudkan tiga lagi Anjung Kasih YKN di hospital utama di tiga negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pembinaan tiga buah Anjung Kasih itu di Hospital Sedang, Hospital Melaka dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
"Sebanyak 17 buah Anjung Kasih telah di bina di hospital-hospital terpilih di setiap negeri dan sehingga kini, seramai 80,574 waris pesakit telah mendapat manfaat daripada Anjung Kasih berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Penyampaian Tajaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk YKN bagi menubuhkan Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Pegawai Perniagaan Global TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron.
Rina menambah, Anjung Kasih YKN di HRPZ II membabitkan kos sebanyak RM1.5 juta dan dijangka mula beroperasi pada Disember 2022.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan keselamatan terutamanya penjagaan prosedur operasi standard (SOP) kawalan penularan Covid-19 di Anjung Kasih YKN mengikut apa yang telah ditetapkan pihak hospital.
"Anjung Kasih menyediakan tempat-tempat khusus sekiranya pengguna yang datang melibatkan keluarga dan sebagainya.
“Kita juga ada asingkan lelaki dan perempuan jika mereka datang secara individu mengikut SOP yang telah ditetapkan.
“Antara SOP wajib adalah mengesan suhu dan beberapa prosedur lain yang kita tidak biasa buat sebelum ini namun sekarang sudah menjadi perkara biasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!