Kedah akan bentang cadangan eksport ketum kepada kerajaan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mengarahkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) melakukan sesi libat urus bersama semua agensi berkaitan berhubung cadangan mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasil dapatan itu akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, ia bukan sesuatu yang mustahil dilakukan sama ada melalui pindaan akta atau kebenaran khas menerusi akta sedia ada.

“Perkara itu diputuskan pada Isnin sebagai keputusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Keselamatan Negeri. BPEN sedang menyediakan kertas kerja terbabit selepas libat urus berkenaan selesai, hasil dapatan itu akan kita bentang kepada kerajaan Persekutuan.

“Namun keputusan terletak pada mereka (Pusat), kita di peringkat negeri hanya mencadangkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, permohonan untuk mengeksport ketum dilakukan selepas pihaknya mengadakan taklimat bersama agensi penguatkuasa antaranya polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Isu penyeludupan ketum boleh diatasi jika ada garis panduan khas yang membolehkan komoditi itu dieksport secara sah. Kegiatan menyeludup berleluasa di sepanjang sempadan negeri ini dengan Thailand kerana daun ketum mendapat permintaan tinggi di negara jiran itu sebagai bahan penting hasilkan produk kesihatan dan minuman isotonik di negara terbabit,” katanya.

Menurutnya, malah terdapat produk kesihatan di negara Eropah yang menggunakan daun ketum sebagai bahan penting sebagai herba (kratom) yang diperoleh dari Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak pernah benarkan eksport daun ketum, macam mana ia sampai ke Eropah?

“Dulu mungkin eksport daun ketum wajar disekat kerana kemungkinan dijadikan pengganti bahan terlarang seperti ganja atau dadah. Apabila sudah ada kemajuan teknologi dan penemuan manfaat ketum untuk produk kesihatan dan perubatan, adalah wajar untuk pertimbangkan semula eksport tumbuhan itu sebelum teknologi terbabit dibawa masuk ke negara ini untuk dimanfaatkan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Pusat wajar membuat pertimbangan yang bijak untuk menjadikan daun ketum sebagai bahan mentah untuk dieksport sebagai produk kesihatan di negara yang memiliki teknologi terbabit.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh dapatkan laporan lengkap daripada agensi di bawahnya untuk pengesahan. KDN hanya perlu beri perhatian kepada penyalahgunaan daun ketum sebagai minuman yang jejaskan kesihatan apabila ada segelintir masukkan campuran berbahaya ke dalam minuman itu yang berleluasa dalam negara,” katanya.

Menurutnya, Kedah memiliki ratusan atau ribuan hektar tanah yang telah ditanam ketum, yang dipasarkan secara salah dan ia merugikan kerajaan.

“Berapa banyak sumber kewangan dan tenaga yang dikerah untuk halang penyeludupan sedangkan ia boleh diatasi dengan menghalalkan proses eksport daun herba itu. Bahan rampasan juga menjadi beban kepada agensi penguatkuasa untuk proses pendakwaan,” katanya.

Mengulas bagaimana kawalan wajar dilakukan bagi mengelak daun ketum disalahgunakan, Muhammad Sanusi mencadangkan agar kerajaan mendaftarkan penanam ketum seperti dilakukan terhadap pekebun kecil.

“Kita boleh dapat jumlah pengeluaran ketum mengikut daerah dan negeri termasuk hasil eksport. Sekarang dilakukan secara sembunyi jadi tiada data. Bila dibuat secara sah, kerajaan boleh catat data berkaitan pengeluaran dan kegunaan.

“Sekarang tanam boleh, kutip dan proses tidak dibenarkan. Kita mahu hasil tanaman sedia ada itu boleh dipetik dan dijual kepada pengeksport, kita pula kutip cukai eksport daripada aktiviti itu,” katanya.

Tegas Muhammad Sanusi, menanam ketum bukan satu kesalahan kerana ia bukan bawah kategori Akta Dadah Berbahaya (ADB).

"Mengikut Akta Racun 1952, kesalahan bagi ketum adalah bagi mereka yang mengimport, memiliki, mengilang, menyimpan, mengangkut dan mengguna air ketum sahaja, manakala penanam pokok ketum kekal bebas.

“Ini bermakna, boleh tanam dan boleh eksport. Kalau dibenar eksport secara sah, secara tidak langsung aktiviti penyeludupan dapat dibanteras,” katanya.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan KDN tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand untuk apa-apa tujuan pun mengikut akta sedia ada.

Hamzah berkata, perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan dalam negara, yang melarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi dilapor mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!