KDN sasar 20,000 ahli daftar sebagai Sahabat Kita Demi Negara

Hamzah (kiri) menyerahkan pasport Sahabat Kita Demi Negara kepada Muhammad Syafiq (tengah) pada Majlis Pelancaran kempen 'Kita Demi Negara' di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Hamzah (kiri) menyerahkan pasport Sahabat Kita Demi Negara kepada Muhammad Syafiq (tengah) pada Majlis Pelancaran kempen 'Kita Demi Negara' di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 keahlian Sahabat Kita Demi Negara dalam tempoh enam bulan yang berperanan sebagai mata dan telinga kementerian itu berkaitan isu-isu keselamatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Sahabat juga berperanan sebagai ejen penyebar maklumat yang tepat dan sahih dalam usaha memacu pencapaian kempen 'Kita Demi Negara'.

"Kita menyasarkan keahlian dalam kalangan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar institut pengajian tinggi, sekolah rendah dan menengah,” katanya ketika merasmikan kempen ‘Kita Demi Negara’ di sini pada Khamis.

Beliau berkata, seramai 500 individu sudah mendaftar sebagai ahli pada hari pertama kempen dilancarkan pada Khamis dan siri jelajah akan diadakan di setiap negeri untuk menjangkau seluruh Keluarga Malaysia bagi tujuan pendaftaran.

Mereka yang mendaftar akan menerima pasport keahlian dan boleh memilih untuk menyertai aktiviti dengan mana-mana agensi keselamatan di bawah KDN seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan atau Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Katanya, keahlian Sahabat boleh ditarik balik sekiranya mereka menyalahgunakan pasport keahlian untuk kegiatan menyalahi undang-undang dan setiap pasport yang dikeluarkan mempunyai pengenalan diri ahli.

Sementara itu, Hamzah berkata, KDN sedang dalam fasa pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan Identiti Digital Nasional (IDN) yang memanfaatkan teknologi untuk menambah baik pengurusan pendaftaran negara dan warga asing di Malaysia.

Beliau berkata, sistem yang lebih menyeluruh dan bersepadu dibangunkan itu mengambil kira semua keperluan baharu selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha berterusan agensi di bawah kementerian itu bagi mengekang aktiviti jenayah walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lepas, membuahkan hasil apabila jenayah indeks di negara ini menurun berbanding tahun sebelumnya.

"Kes jenayah indeks menunjukkan penurunan sebanyak 148 kes berbanding sasaran iaitu 246 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Penurunan kes ini juga menyumbang kepada peningkatan tahap rasa selamat rakyat Malaysia iaitu pada tahap 64.67 peratus berbanding 60.6 peratus pada 2020,” katanya.

Beliau berkata, hasil pelaksanaan Op Patuh bermula Julai tahun lepas hingga 6 Mac, sebanyak 4,399,586 pemeriksaan dilakukan dengan 18,756 tindakan diambil termasuk 12,404 kompaun dikeluarkan dan 6,352 premis diarah tutup. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!