Maritim sita bot kargo bawa barang kawalan tanpa permit
TAWAU - Bot kargo yang sarat dengan muatan pelbagai barangan kawalan tanpa permit disita Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau di Kuala Sungai Tawau, pada malam Rabu.
Dalam kejadian pada jam 8.45 malam itu, turut ditahan seorang tekong lelaki berusia 49 tahun dan penumpang lelaki berusia 46 tahun.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, bot kargo itu berjaya dikesan ketika anggotanya menjalankan Ops Sejahtera/Ops Cegah pendatang asing tanpa izin (PATI) Selatan di kawasan itu.
Katanya, sebuah bot kargo dikesan bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
"Pemeriksaan awal mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang tekong lelaki tempatan bersama seorang penumpang lelaki juga warga tempatan.
"Ketika pemeriksaan awal, tekong bot mengemukakan permit berkaitan barangan yang dibawa dan menyatakan bahawa muatan itu adalah untuk keperluan pemborong di Pulau Sebatik," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, Siva Kumar berkata, hasil pemeriksaan lanjut pada dokumen mengesyaki tekong berkenaan telah mengemukakan permit barang yang meragukan.
"Nombor pendaftaran bot kargo yang didaftarkan di dalam permit tidak sama dengan bot kargo yang digunakan.
"Hasil penggeledahan menyeluruh menemui 23 tong gas petroleum cecair (LPG); 2,513 kilogram minyak masak; 2,160 kilogram tepung gandum; 1,680 kilogram gula pasir serta barangan lain," katanya.
Katanya, kedua-dua individu itu ditahan bersama bot dan muatan sebelum diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
"Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM60,000," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!