KLANG - Satu video tular yang memaparkan seorang lelaki menunjukkan isyarat lucah dan memecahkan cermin kereta di hadapan sebuah balai polis di sini dikesan berlaku pada tahun 2018. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, video berkenaan merupakan video lama sekitar tahun 2018 dan individu berkenaan merupakan warga tempatan itu sedang menjalani hukuman penjara. "Individu terbabit sebelum ini telah dituduh di Mahkamah Klang pada 20 Ogos 2018, suspek telah dijatuhkan hukuman denda RM 2,000 dan jika gagal bayar, penjara selama tempoh 3 bulan bagi pertuduhan dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan manakala bagi pertuduhan dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan telah dijatuhkan hukuman denda RM 3,000 dan jika gagal bayar, penjara selama tempoh empat bulan. "Individu berkenaan didapati tidak membayar denda dan telah menjalani hukuman penjara yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis. Pada Khamis, polis telah mengesan satu video tular di media sosial Twitter berkaitan satu kejadian seorang lelaki menunjukkan isyarat lucah dan memecahkan cermin kereta di hadapan sebuah balai polis. Video berkenaan berdurasi 56 saat itu telah dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter sebelum ia menjadi tular di media sosial.