Premis jual barang tiruan diserbu
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menggempur premis menjual barangan tiruan dalam serbuan di ibu negara.
Serbuan itu dijalankan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Lorong Haji Taib.
Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Low Swee Hon berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu tiga buah premis di lokasi terbabit.
"Serbuan telah menyita sebanyak 1,539 unit pelbagai barangan seperti kasut, dompet, selipar, beg galas dan topi yang dianggar bernilai RM14,278.
"Antara barangan yang menggunakan jenama tiruan adalah Puma, Michael Kors, Tommy Hilfiger dan Burberry," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis kedai dan stor ini telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan pernah diserbu.
Katanya, pihaknya percaya premis milik warga tempatan ini memperoleh barangan tiruan dari negara luar sebelum dipasarkan untuk pasaran tempatan.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik premis terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!