Baiki rumah, biayai perubatan ibu
TAMBUN - Seorang suri rumah berhasrat untuk menggunakan wang RM10,000 daripada pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membaiki kerosakan dan membeli kelengkapan rumah akibat banjir di Desa Seri Chepor, Chemor di sini.
Nurul Atikah Haironi, 32, berkata, kelengkapan rumah antaranya tilam, sofa dan kabinet mengalami kerosakan setiap kali rumah keluarganya dinaiki air akibat hujan lebat serta limpahan air Sungai Pari berhampiran.
"Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara ini, saya berasa lega kerana dapat bantu keluarga untuk beli beberapa barangan dan pakaian yang rosak dalam banjir.
"Banjir yang naik melebihi satu meter pada Isnin lalu menyebabkan ada beberapa barangan tidak sempat diselamatkan selain perabot dan pintu rumah 'kembang' hingga tidak dapat digunakan.
"Saya juga berhasrat untuk membaiki but kereta yang kemek dalam kejadian ribut yang berlaku Januari lalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menurutnya, sebahagian wang itu juga akan digunakan untuk membiayai perubatan ibunya, Umi Kalsum Abu Yamin, 63, yang menghidap kanser pankreas.
"Emak kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sejak dua minggu lalu kerana kanser yang dihidapinya sejak 2019.
"Saya akan mohon segera wang KWSP ini pada 1 April nanti kerana ia boleh digunakan untuk beli susu khas, peralatan dan perubatan lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!