Sempadan negara dibuka tak lama lagi, isteri mula gelisah
TARIKH 1 April ini pasti ditunggu-tunggu rakyat Malaysia. Bukan sebab April Fool tetapi kerana pengumuman kerajaan melonggarkan satu lagi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 iaitu pembukaan sempadan negara.
Sejak Perdana Menteri mengumumkan pembukaan sempadan negara pada awal bulan ini, nampaknya ramai yang sudah tidak sabar nak bercuti ke luar negara terutama kaki melancong.
Antara yang teruja ialah golongan pemilik motosikal berkuasa tinggi apabila sudah mula merancang untuk berkonvoi ke negara jiran di utara tanah air. Disebabkan bulan puasa jatuh sehari selepas sempadan negara dibuka, mereka mengatur rancangan berkonvoi ke negara berkenaan selepas Aidilfitri nanti.
Ada juga yang sudah membuat hebahan menerusi group WhatsApp kepada sesiapa yang berminat untuk turut serta bagi tempahan bilik penginapan.
Bagi Merak Jalanan, tidak salah kalau sudah bersemangat untuk ke sana. Maklumlah, sudah lebih dua tahun tidak dapat ke luar negara, sudah tentu perasaan teruja itu timbul.
Cuma Merak Jalanan nak nasihatkan supaya tidak perlulah tergesa-gesa. Walaupun sempadan sudah dibuka, kena tahu juga syarat-syarat lain yang mungkin dikenakan kerajaan negara luar kepada pelancong kita. Takut nanti bila dah sampai sana, masalah lain pula timbul. Wabak Covid-19 pun masih belum reda.
Lagipun pembukaan sempadan negara bukan terhad untuk satu tempoh tertentu. Banyak lagi masa untuk membuat perancangan supaya percutian nanti tidaklah sia-sia.
Cuma, sejak Perdana Menteri mengumumkan pembukaan sempadan itu, dengar ramai kaum-kaum ibu mula gelisah mendengar suami masing-masing sudah berpakat dengan kawan-kawan untuk melancong ke negara seberang.
Merak Jalanan tak pasti kenapa, mungkin mereka gelisah menunggu bilakah agaknya suami masing-masing nak pelawa keluarga bercuti bersama di luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!