Penghantar barang didakwa menyamar polis
Tertuduh, V. Premantharan Pillai, 40, dari Pandamaran, Klang, Selangor, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.
Bapa kepada empat orang anak itu didakwa menipu R. Asubadi@Asupathy, 76, dengan menyamar sebagai pegawai polis dan memberitahu dapat menyelesaikan kes tangkapan cucu mangsa dengan bayaran RM2,500 sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun CIMB.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Taiping, kira-kira 7.41 malam, 13 Jan 2016 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,500 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat dan kes disebut semula pada 4 Januari ini.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Nor Raihan Rithwan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), T Selvadoray.
Pada 9 Mei 2016, lelaki itu didakwa atas 12 pertuduhan di Mahkamah Majistret Jitra, Kedah atas pertuduhan sama membabitkan nilai kerugian RM50,000 terhadap mangsa lain pada Mac 2016. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!