Beruang matahari merayau di sawah
SUNGAI BESAR - Seekor beruang matahari dikesan merayau di kawasan sawah di Parit 13 Sungai Panjang di sini pada Khamis.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, kejadian jam 9.30 pagi itu disedari seorang penduduk.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Perhilitan Sabak Bernam bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi jam 10 pagi, anggota kita dimaklumkan bahawa beruang dewasa itu sudah memasuki ke sebuah kebun berdekatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Choon Yung berkata, hasil pemantauan kemudiannya menemui kesan tapak kaki haiwan itu di sekitar kawasan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, rondaan yang dijalankan di sekitar kawasan tidak menemui beruang berkenaan.
Katanya, pemantauan lanjut akan dilakukan Perhilitan di kawasan itu bagi mengesan beruang berkenaan.
"Penduduk dinasihatkan menghubungi Perhilitan sekiranya ternampak kelibat haiwan ini," ujarnya.
Kelibat haiwan itu dikesan selepas gambar seekor beruang berada di kawasan sawah tular di media sosial pada Khamis.
Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan haiwan itu dipercayai melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!