Acara naikkan bendera dahului perasmian PAU 2021

Perhimpunan UMNO kali ini disertai 5,571 perwakilan dengan SOP ketat termasuk pematuhan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal. - Foto Bernama
Perhimpunan UMNO kali ini disertai 5,571 perwakilan dengan SOP ketat termasuk pematuhan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO 2021 dimulakan dengan acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Upacara menaikkan bendera UMNO yang menjadi simbolik perasmian perhimpunan dimulakan oleh Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad diikuti Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan dengan latar belakang lagu pergerakan masing-masing.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba pada 8.05 pagi kemudiannya menaikkan bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa' dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' oleh perwakilan yang hadir menyaksikan acara tersebut.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO bersama dua lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Perhimpunan kali ini yang disertai 5,571 perwakilan diadakan selama empat hari bermula Rabu.

Selaras dengan situasi Covid-19, Perhimpunan Agung UMNO 2021 diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk pematuhan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!