UMNO, BN bukan gila kuasa: Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan parti gila kuasa seperti didakwa pihak tertentu hanya kerana parti itu mempunyai pandangan berbeza dengan tindakan yang dilakukan kerajaan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti yang dipimpinnya mempunyai hak untuk menegur perkara yang dirasakan ‘tidak betul’ memandangkan ahli Parlimen mereka turut menganggotai kabinet kerajaan.
Beliau menegaskan, biarpun pemimpin utama kerajaan adalah dari UMNO, namun hakikatnya mereka bukan parti yang dominan dan berhak untuk mengeluarkan pandangan demi kepentingan rakyat di bawah.
“Kita ada prinsip. Kita ada maruah. Kita ada kekuatan. Kita tidak boleh diugut dengan ‘tekan butang di sana dan tekan butang di sini’. UMNO bukan parti picisan. Tidak juga seperti itik patah kaki.
“UMNO dan BN bukan gila kuasa seperti dakwaan mereka. Tabur wang sana-sini untuk kekalkan penguasaan dalam kerajaan. Tabur janji palsu, fitnah dan tohmahan yang memburukkan orang lain.
“Rakyat bukan buta dan pekak, yang boleh diperdaya dengan mudah. Itu tanda mereka yang sebenarnya gila kuasa,” katanya ketika pada Majlis Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, UMNO mempunyai hak untuk menegur kerajaan jika terdapat ‘skru yang perlu diperketatkan’ atau ‘longkang tersumbat akibat sampah sarap’.
Malah, Ahmad Zahid dalam masa sama turut menyelar dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan UMNO sebagai kerajaan tebuk atap.
“Kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’ tidak perlu dikaitkan dengan UMNO. Bukan kita yang tebuk atap, dan bukan kita yang buka pintu belakang. Sampah sarap begini tidak harus dipalitkan kepada UMNO,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!