Penuntut kolej didakwa memandu bawah pengaruh alkohol

Lo Yen Hue (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat.
Lo Yen Hue (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lalu.

Lo Yen Hue, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pemandu kereta jenis Toyota Sienta telah memandu di bawah pengaruh alkohol dengan kandungan bahan itu dalam badan didapati sebanyak 184 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) kandungan darah.

Ia melebihi 134mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah.

Tertuduh didakwa tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut dan menyebabkan kematian kepada pekerja subkontraktor DBKL, Yap Kwee Chee, 74, di Jalan Kuching ke Batu Caves, pada jam 3.15 pagi, 12 Mac lalu.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, KA Ramu merayu agar kadar ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, majistret Amanina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei depan untuk serahan dokumen.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang petugas subkontraktor DBKL yang sedang memotong pokok di pembahagi jalan di Jalan Kuching di sini maut selepas dilanggar seorang pemandu mabuk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!