Pelayan restoran cedera ditampar pelanggan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang pelayan warga asing cedera ditampar hanya kerana tidak memasang lagu seperti diminta seorang pelanggan dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan SS 15/5 di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam apabila suspek bersama rakannya memesan minuman keras di restoran berkenaan.

"Semasa minum, suspek meminta mangsa untuk memasang lagu Tamil, namun mangsa memaklumkan tidak boleh disebabkan pemasangan lagu telah ditetapkan dan tidak boleh diubah.

"Berang dengan jawapan mangsa, suspek kemudiannya memarahi serta memaki hamun mangsa lalu menampar pipi sebelah kiri mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, suspek bersama rakannya kemudian terus beredar daripada restoran berkenaan.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian.

"Kes masih disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!