Pengurusan integriti di Malaysia: Cabaran dan saranan

No Image Caption
A
A
A

Integriti mempunyai pertalian rapat dengan rasuah. Aktifnya gejala rasuah adalah cerminan lemahnya pengamalan integriti dan begitulah sebaliknya. Bagi negara Malaysia, soal pembangunan dan pembudayaan integriti menjadi acuan utama pembangunan di peringkat nasional.

Oleh kerana itu, integriti menjadi agenda nasional apabila kerajaan memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai usaha menginstitusikan integriti melalui kewujudan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai badan yang menerajui agenda pembudayaan integriti di Malaysia. Namun pada 2019, PIN dimansuhkan dan digantikan kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP, 2019-2023) di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Transisi daripada PIN kepada NACP memperlihatkan perubahan struktur dalam menggerakkan modus operandi agenda pembanterasan rasuah dan pembudayaan integriti di peringkat nasional melibatkan peranan kerajaan, sektor swasta dan korporat, komuniti dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Tidak dapat dinafikan ini perkara yang sangat mencabar. Justeru, dalam menjayakan matlamat ini, terdapat tiga cabaran semasa utama yang harus diberikan tumpuan.

Pertama, faktor transisi demokrasi yang menyaksikan perubahana aturan politik kepartian dan hala tuju dasar awam negara yang memberikan impikasi besar terhadap aspek integriti memandangkan wujudnya dakwaan aktiviti tawaran politik dan gertakan politik diamalkan. Situasi ini sebenarnya bukan perkara asing bagi negara-negara sedang membangun - malah trend yang hampir serupa juga berlaku di negara seperti Amerika Latin dan Afrika.

Kedua, kesan pandemik Covid-19 telah menyebabkan organisasi awam dan swasta terpaksa dengan pantas beradaptasi bagi meneruskan kelangsungan aktiviti ekonomi dan sosial yang menimbulkan cabaran integriti yang besar mengenai tahap kebertanggungjawaban majikan dan hak kebajikan pekerja. Kadar pengangguran telah meningkat kepada 4.8 peratus (Julai 2021) berbanding 4.5 peratus pada Mei 2021 yang menyumbang kepada kenaikan kadar ini akibat daripada tekanan ekonomi yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Ketiga, peningkatan skandal-skandal rasuah dan penggubalan wang haram berprofil tinggi di Malaysia yang melibatkan aktor-aktor antarabangsa yang menyumbang kepada reputasi integriti negara tercemar dan menyebabkan usaha menangani isu ini menjadi lebih kompleks. Beberapa skandal integriti berprofil tinggi seperti 1MDB telah menjejaskan usaha untuk memperbaiki reputasi integriti negara. Pada tahun 2021, negara dikejutkan lagi dengan skandal penggubahan wang haram yang dianggarkan bernilai RM1.8 trilion dari tahun 2004 hingga 2014 oleh tokoh-tokoh kenamaan negara yang didedahkan oleh Pandora Papers.

Bagi menangani cabaran, pihak kami melihat terdapat tiga saranan yang sesuai dilakukan dalam tempoh terdekat namun bersifat jangka panjang. Pertama, keperluan untuk menyemak kembali Pelan Antirasuah Nasional dengan memastikan usaha membudayakan integriti dalam masyarakat diteruskan dengan penyelarasan yang lebih baik.

Sokongan daripada pihak rakyat yang kukuh amat diperlukan di samping pematuhan integriti oleh sektor awam dan swasta. Saranan ini turut melibatkan peranan masyarakat awam, NGO dan parti-parti politik melalui penekanan modal insan dalam NACP diberikan keutamaan. Pengukuhan kembali peranan IIM sebagai organisasi menguruskan agenda pembudayaan integriti di peringkat nasional dan negeri perlu dilakukan dengan kadar segera.

Kedua, memperkenalkan Indeks Persepsi Integriti Malaysia yang dibentangkan kepada Kabinet dan juga didedahkan perolehan indeks yang bertujuan untuk membuka perbincangan awam. Ini bertujuan untuk mengukur pandangan masyarakat dan meluaskan wacana integriti dalam masyarakat serta menjadi pelengkap kepada kajian indeks lain seperti dibangunkan Transparency International.

Ketiga, mengukuhkan agenda Integriti Rentas Politik Kepartian. Situasi politik dan pandemik telah membawa kepada perubahan baru dalam hubungan politik kepartian dengan pelaksanaan MOU Transformasi dan Kestabilan Politik yang melibatkan parti-parti politik di Malaysia. Perkara ini juga telah mencipta peluang baharu membina kematangan politik kepartian dan memulihkan imej negatif wakil rakyat dari kaca mata rakyat. Saranan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik dan mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dilihat sebagai aspek utama agenda pengukuhan integriti bersifat rentas parti politik.

Kesimpulannya, usaha membudaya dan membangunkan integriti sebagai elemen utuh dalam masyarakat berdepan dengan cabaran besar memandangkan integriti sudah dijadikan agenda di peringkat nasional.

Justeru itu, semua pihak melibatkan aktor-aktor politik dan sosial meliputi kerajaan dan agensinya, masyarakat awam, NGO dan parti-parti harus bekerjasama dalam menjayakan misi nasional ini membentuk negara dan masyarakat yang berintegriti.

NOTA:

Muhammad Ariff Asyrul Adnan, Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), UiTM Pahang.

Haris Zuan, Felo Penyelidik, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM.

Kedua-dua penulis merupakan ahli NARATIF Malaysia.

Artikel ini merupakan kerjasama dan sokongan Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!