Laluan Jalan Ampang-Jelapang dibuka sepenuhnya Ahad ini

Kerja-kerja pembaikan di laluan Persekutuan FT 239 Jalan Ampang-Jelapang yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu dijangka siap pada Sabtu.
Kerja-kerja pembaikan di laluan Persekutuan FT 239 Jalan Ampang-Jelapang yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu dijangka siap pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Pengguna Laluan Persekutuan FT 239 Jalan Ampang-Jelapang di sini boleh menarik nafas lega apabila laluan itu yang sering sesak akibat penutupan satu lorong bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan sejak beberapa bulan lepas, dijangka siap pada Sabtu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dalam satu kenyataan berkata, para pengguna boleh menggunakan kedua-dua lorong jalan selepas susur keluar Jalan Kuala Kangsar ke Meru itu sepenuhnya pada Ahad ini.

JKR sebelum ini dilaporkan menerima peruntukan kecemasan sebanyak RM624,000 bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan kekal di laluan tersebut antaranya pembersihan tapak, menebang pokok, persiapan akses jalan masuk dan pembinaan platform kerja yang dilaksanakan di bawah permukaan jalan.

Pada 14 Disember lalu, Mohd Zolkafly dilaporkan berkata, kerja baik pulih lapisan permukaan jalan di laluan itu terpaksa ditangguhkan, susulan penemuan mendapan tanah bersaiz 10 meter panjang dan 1.5 meter lebar di bahu jalan Seksyen 4.73 itu, yang menyebabkan ia terpaksa ditutup untuk satu lorong, berpunca daripada hakisan tanah dipercayai akibat resapan air kesan daripada kebocoran longkang di tepi jalan.

Ekoran penutupan laluan tersebut sejak Oktober tahun lalu, pengguna jalan raya meluahkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan kepada JKR serta kerajaan negeri melalui media sosial kerana kesesakan lalu lintas luar biasa, selain kelewatan menyiapkan projek tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!