Harimau Malaya dapat sesuaikan diri dengan rejim latihan baharu

Skuad bola sepak Harimau Malaya menjalani latihan pada hari keempat di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis. - Foto Bernama
Skuad bola sepak Harimau Malaya menjalani latihan pada hari keempat di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas beberapa hari menjalani kem latihan berpusat, pemain skuad Harimau Malaya dapat menyesuaikan diri dengan baik dan mengejar falsafah yang diterapkan oleh rejim kejurulatihan baharu diketuai oleh Kim Pan Gon dari Korea Selatan.

Walaupun permainan dan falsafah Pan Gon berbeza sedikit daripada kaedah taktikal bekas pengendali Tan Cheng Hoe, pemain tengah M Kogileswaran Raj dan rakan sepasukannya dapat menangani perubahan itu dengan baik di bawah pasukan kejurulatihan ‘bertaraf dunia’.

Dari segi sesi latihan, pemain berusia 23 tahun itu berkata, tidak banyak perbezaan antara pendekatan jurulatih Cheng Hoe dengan Pan Gon tetapi kedua-duanya mempunyai kaedah tersendiri dalam membentuk pasukan.

"Intensiti latihan agak tinggi dan terus meningkat, kami menjalani dua sesi latihan sehari kini (pagi dan petang). Bagaimanapun, kakitangan kejurulatihan merancang pemulihan dengan baik, jika dua sesi diadakan secara intensif, sesi seterusnya akan dikurangkan sedikit, jadi kita dapat menyesuaikan diri dan pulih, lebih penting dapat mengelakkan kecederaan.

"Faktor lain ialah pemain cergas sejak Liga Malaysia bermula, jadi mudah bagi kami untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Setakat ini, semua pemain termasuk saya, memberikan yang terbaik dan berharap dapat keputusan baik pada perlawanan persahabatan di Singapura dan Kelayakan Piala Asia (pada Jun),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Skuad Harimau Malaysia sedang membuat persiapan menghadapi Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura tiga hari kemudian pada perlawanan persahabatan FAS Tri-nation Series 2022, sebelum bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada 28 Mac.

Pemain Petaling Jaya (PJ) City FC yang mendapat pujian atas persembahannya semasa kempen Piala AFF 2020 tahun lepas kerana menjaringkan dua gol itu, berharap dapat menarik perhatian barisan kejurulatihan baharu untuk kekal berada dalam skuad kebangsaan.

"Paling penting bukan sahaja para perlawanan persahabatan akan datang, tapi setiap sesi latihan saya kena bagi 100 peratus, tingkatkan prestasi saya dan buat yang paling baik, supaya jurulatih akan lihat kemampuan saya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!