Buruh tetak peguam dipenjara, denda RM10,000

Mahkamah mengenakan denda RM5,000 terhadap seorang buruh pada Jumaat kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang. Gambar hiasan
Mahkamah mengenakan denda RM5,000 terhadap seorang buruh pada Jumaat kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang buruh yang sebelum ini didenda RM5,000 kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka pada Jumaat diperintah menjalani hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda RM10,000 ke atas M Samasiveng, 57, selepas membuat semakan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang pada 11 Mac lepas.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan menyemak hukuman yang dijatuhkan sebelum ini, mahkamah mendapati hukuman yang dijatuhkan tidak mencukupi.

"Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret dan mengenakan hukuman penjara setahun bermula hari ini dan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara, jika gagal membayar denda,” kata hakim itu.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed berhujah tertuduh sebagai rakyat Malaysia, seharusnya lebih peka dengan keadaan negara yang dilanda Covid-19 dan tidak membuka pelitup mukanya dan merokok di tempat awam.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut fakta kes, tertuduh juga telah menunggu mangsa di kaki lima pasar raya selepas ditegur dan ini menunjukkan jenayah yang dilakukan adalah terancang.

"Tertuduh telah mengambil senjata iaitu parang dari keretanya selepas bertengkar mulut dengan mangsa dan ini menunjukkan penggunaan senjata bukanlah bertujuan mempertahankan diri. Serangan dengan parang boleh menyebabkan kematian kepada mangsa,” katanya.

Peguam T P Aravind Raj, yang mewakili Samasiveng merayu hukuman ringan atas alasan Mahkamah Majistret telah mengambil kira faktor umur mangsa yang sudah tua dan perlu menjaga isteri serta cucunya.

"Punca kejadian ini adalah perbalahan mulut selepas mangsa menegur anak guam saya yang sedang merokok dan tidak memakai pelitup muka. Ia bukanlah kejadian yang dirancang kerana ketika kejadian dia hanya membeli barangan runcit bersama isteri dan cucunya,” kata peguam itu.

Prosiding pada Selasa turut dihadiri peguam pemerhati dari Badan Peguam Malaysia Nicholas Cheoh.

- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!